Apakah afasia?
Afasia adalah gangguan neurologi yang disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang bertanggungjawab untuk fungsi bercakap dan memahami percakapan (bahasa). Tanda-tanda utama gangguan termasuk kesukaran dalam menyatakan pendapat diri sendiri apabila bercakap, masalah memahami pertuturan, dan kesukaran membaca dan menulis. Afasia bukanlah satu penyakit, tetapi gejala kerosakan otak. Selain biasa dilihat pada orang dewasa yang telah mengalami strok, afasia juga boleh disebabkan oleh tumor otak, jangkitan, kecederaan kepala, atau demensia (nyanyuk) yang merosakkan otak. Adalah dianggarkan bahawa kira-kira 1 juta orang di Amerika Syarikat hari ini mengalami afasia. Jenis dan tahap masalah bahasa bergantung kepada lokasi yang tepat dan tahap kerosakan tisu otak.
Gambar: kawasan Broca dan Wernicke pada otak yang mengawal fungsi bercakap dan memahami percakapan.
Secara umumnya, afasia boleh dibahagikan kepada empat kategori: (1) afasia ekspresif: melibatkan kesukaran dalam menyampaikan fikiran melalui pertuturan atau bertulis. Pesakit tahu apa yang dia mahu berkata, tetapi tidak dapat mencari perkataan dia perlukan. (2) afasia penerimaan: melibatkan kesukaran memahami bahasa pertuturan atau bertulis. Pesakit mendengar suara tetapi tidak dapat memahami perkataan. (3) Pesakit yang mengalami afasia anomic (tak boleh menamakan) atau amnesia (pelupa), mengalami kesukaran untuk menggunakan nama-nama yang betul bagi objek tertentu, orang, tempat, atau peristiwa. (4) afasia global berpunca dari kerosakan teruk dan meluas ke kawasan-kawasan otak yang mengawal fungsi bahasa. Pesakit kehilangan hampir semua fungsi bahasa, kedua-dua memahami dan bercakap. Mereka tidak boleh bercakap atau memahami pertuturan, termasuk tidak dapat membaca atau menulis.
Adakah terdapat apa-apa rawatan?
Dalam beberapa kes, individu akan pulih sepenuhnya daripada afasia tanpa rawatan. Dalam kebanyakan kes, terapi bahasa harus dimulakan secepat mungkin dan perlu disesuaikan dengan keperluan individu pesakit. Rawatan dengan bantuan patologis pertuturan melibatkan latihan di mana pesakit akan disuruh membaca, menulis, mengikut arahan, dan mengulangi apa yang mereka dengar.
Apakah prognosis?
Prognosis afasia adalah sukar untuk diramalkan kerana kepelbagaian jenis keadaan individu pesakit. Secara umumnya, orang-orang yang lebih muda atau mempunyai kerosakan otak yang lebih sedikit adalah lebih baik. Lokasi kecederaan adalah penting dan merupakan satu lagi kriteria untuk prognosis. Pada umumnya, pesakit cenderung untuk mendapatkan kembali kemahiran dalam memahami bahasa lebih daripada kemahiran bersuara.