Gambar hiasan dari: Wikipedia
Angin akhmar merupakan sejenis penyakit yang berpunca daripada kurangnya bekalan darah ke otak sehingga menyebabkan sebahagian daripada tisu otak mati dan tidak berfungsi. Terdapat 2 pecahan utama angin akhmar iaitu 'ischemia' -yang membawa maksud kurang aliran darah akibat tersumbat- dan 'hemorrhagic' -yang membawa maksud darah bocor dari salur darah dan menyebabkan sebahagian tisu otak tidak mendapat bekalan darah yang cukup dan darah yang keluar tersebut menyebabkan bengkak dalam tisu otak-.
Kadang kala pembedahan perlu dilakukan terhadap pesakit yang pernah mengalami angin akhmar untuk merawat penyakit seperti penyakit buah pinggang, pembedahan jantung dan lain lain. Namun, pembedahan ini tidaklah tanpa risiko.
Pembedahan yang dilakukan kepada pesakit yang pernah mengalami penyakit angin akhmar boleh menyebabkan angin akhmar berlaku semula. Ini demikian kerana sewaktu pembedahan, pesakit akan diberikan ubat anestetik (ubat tahan sakit) yang mana ubat ini mengganggu kawal atur salur darah dalam otak. Kesannya, akibat daripada kelemahan kawal atur salur darah dalam otak ini, salur darah berkemungkinan untuk sumbat sekali lagi sama ada di tempat yang pernah berlaku sumbatan atau pun di tempat yang lain.
Selain itu, dalam banyak pembedahan, pesakit diberikan dengan ubat pencair darah yang bertujuan untuk mengelakkan darah beku sewaktu pembedahan berlangsung. Ubat cair darah ini sangat perlu untuk mengelakkan kesan sampingan pembedahan seperti darah beku di kaki (Deep vein thrombosis), darah beku di paru paru dan lain lain. Namun, ubat cair darah ini juga menyebabkan berlakunya pendarahan semula di kawasan otak yang pernah mengalami serangan angin akhmar sebelumnya. Oleh itu, dalam kedua dua jenis angin akhmar (ischaemic dan hemorrhagic), risiko bagi orang yang memiliki penyakit ini adalah lebih besar daripada orang biasa tanpa penyakit tersebut
Bagi yang pernah mengalami masalah angin akhmar, pastikan pembedahan yang bakal dilakukan tidak kurang daripada sebulan setengah daripada tarikh serangan angin akhmar. Masa sebulan setengah ini diperlukan untuk mebolehkan salur darah di otak kembali sembuh dan mengurangkan radang di otak.
Pembedahan juga perlu dilakukan sebaiknya tanpa menggunakan ubat cair darah bagi pesakit yang pernah mengalami angin akhmar jenis 'hemorrhagic'.
Sewaktu pembedahan, doktor perlu memastikan yang tekanan darah adalah sentiasa dalam keadaan stabil dan tidak banyak turun naik bagi memastikan tidak berlaku kurang darah dalam tisu otak dan pendarahan sewaktu pembedahan.
Doktor juga perlu memastikan kepala pesakit tidak terlalu rendah sewaktu pembedahan. Ini kerana kepala yang terlalu rendah menyukarkan darah keluar daripada kepala dan menyebabkan tekanan darah dalam kepada meningkat, meningkatkan risiko pendarahan dalam kepala.